KARANGAN 1
Tajuk: Dewasa ini, banyak pelajar bekerja sambilan semasa cuti
persekolahan. Pada pendapat anda, wajarkah pelajar bekerja secara sambilan.
Contoh Karangan:
Apakah kerja sambilan?
Sebenarnya kerja sambilan ini merujuk kerja sementara yang biasanya dilakukan
oleh golongan remaja terutama ketika musim cuti sekolah. Kerja ini turut
dilakukan oleh golongan tua dan wanita atas dasar untuk menambah pendapatan
atau membantu suami menyara keluarga. Sememangnya kerja sambilan wajar
dilakukan oleh remaja kerana sudah menjadi satu gaya hidup moden tetapi gaya
ini turut mencetuskan pelbagai impak terhadap remaja.
Kerja sambilan ini
memberi satu pengajaran berguna kepada remaja dalam kehidupan. Jangka masa yang
pendek bersama-sama rakan sekerja dan majikan pasti meninggalkan pelbagai kesan
yang menarik. Remaja menyedari betapa kehidupan social memerlukan kemahiran
tinggi terutama ketika di tempat kerja. Jadi, pengalaman kerja sambilan menjadi
alat untuk menjelaskan erti kehidupan sebenar kepada remaja sebelum mereka
benar-benar melaluinya.
Malah, remaja mampu
membentuk personality yang menarik menerusi kerja sambilan ini. Tugas di tempat
kerja membina jati diri remaja yang baru kerana kerja ini memerlukan mereka
menepati masa, rajin bekerja, menurut arahan, dan menggunakan minda ketika
berinteraksi dengan pelanggan. Remaja yang dahulunya malas, tiada wawasan,tidak
yakin diri dan sebagainya pasti berubah sebaik sahaja mereka bekerja secara
sambilan ini.
Sudah pasti kelebihan
ketara bekerja secara sambilan ini ialah aspek kewangan. Remaja mempunyai wang
mereka sendiri yang memberi sedikit kepuasan dalam hidup. Perasaan mampu
membeli sesuatu atas kemampuan kewangan sendiri sememangnya membawa satu
perasaan yang tidak dapat dihuraikan. Jelaslah, kerja sambilan memberi satu
kepuasan kewangan yang begitu tinggi kepada remaja.
Cuma dalam keghairahan
remaja bekerja secara sambilan ini, aspek impak negatifnya harus diberi
pertimbangan sewajarnya. Remaja menjadi individu yang terlalu sibuk,
mementingkan kewangan, lupa tugas belajar mereka dan mungkin terlalu angkuh
sehingga menganggap mereka sudah mampu hidup sendiri tanpa bantuan keluarga.
Sikap terlalu rapat dengan rakan sekerja yang lebih dewasa turut mampu
menjerumuskan remaja ke arah budaya yang tidak sihat.
Kesimpulannya, kerja
sambilan sememangnya wajar dilakukan oleh remaja tetapi harus secara
bertanggungjawab. Remaja harus menimbang dengan mendalam sebelum menyertai
kerja sambilan. Bukan sahaja kebenaran ibubapa penting tetapi remaja harus
bertanya kepada diri sendiri, adakah ini sesuatu yang ingin mereka lakukan?
Atau mereka penuhkan masa cuti mereka dengan aktiviti berfaedah yang lain.
KARANGAN 2
Tajuk: Jabatan
Kebajikan Masyarakat ditubuhkan untuk menangani pelbagai masalah dalam
masyarakat.
Huraikan peranan
Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk mencapai matlamat tersebut.
Contoh Karangan:
Jabatan Kebajikan
Masyarakat telah diwujudkan dengan tujuan membantu kerajaan menangani masalah
dalam masyarakat terutama berkaitan dengan kebajikan sosial mereka. Banyak
masalah sosial yang wujud di negara ini seperti anak yatim piatu, kes anak
angkat dan golongan miskin serta warga emas memerlukan penjagaan pihak
tertentu. Pihak media massa telah acap kali menyiarkan berita tentang
penglibatan jabatan ini dalam membantu golongan yang bermasalah ini. Oleh itu,
pelbagai tugas telah dilaksanakan oleh jabatan ini.
Peranan yang ketara
ialah jabatan ini memberikan bantuan kewangan kepada kanak-kanak miskin untuk
meneruskan persekolahan mereka. Bukan sahaja wang saku diberikan tetapi bantuan
buku dan bayaran yuran peperiksaan dilaksanakan oleh jabatan ini dengan
baiknya. Pemberian ini banyak dikaitkan dengan kepentingan pendidikan dalam
kehidupan seseorang itu terutama pada masa hadapan atau memberikan golongan ini
satu cahaya dalam mengharungi kehidupan yang penuh cabaran itu. Jadi, jabatan
ini memberikan bantuan kewangan kepada kanak-kanak miskin untuk bersekolah.
Selain itu, jabatan
ini turut memberikan perlindungan kepada kanak-kanak yang teraniaya. Biasanya,
kes-kes penderaan menjadi punca kanak-kanak teraniaya di negara ini selain
ketiadaan penjaga akibat kematian atau sebab-sebab lainnya. Kanak-kanak ini
akan diberikan tempat tinggal, makan minum dan semua keperluan harian lagi
untuk memastikan kehidupan mereka lebih terjamin sama seperti mereka memiliki
ayah dan ibu pula. Oleh itu, jabatan ini memberikan perlindungan pula kepada
golongan yang teraniaya.
Jabatan ini juga turut
membantu golongan warga emas dengan memberikan golongan ini tempat berteduh
yang baik. Kebanyakan warga tua yang tidak mempunyai apa-apa ini akan
ditempatkan di rumah orang tua oleh jabatan ini. Di rumah orang tua inilah
golongan warga emas boleh bergaul mesra dengan rakan-rakan senasib selain
diberi perhatian perubatan dan keperluan kehidupan lain oleh pekerja-pekerja
jabatan ini. Jelaslah, nasib warga tua turut diambil berat oleh jabatan ini
dengan memberikan mereka tempat berteduh di rumah orang tua.
Malahan, pihak jabatan
ini turut menghulurkan bantuan kepada golongan kurang upaya dan cacat di negara
ini. Bantuan yang diberikan biasanya dalam bentuk latihan untuk memudahkan
golongan ini memperoleh pekerjaan atau mencari rezeki dengan lebih mudah. Satu
jumlah elaun yang tertentu juga diberikan kepada golongan ini untuk memudahkan
mereka meneruskan kehidupan pula. Sesungguhnya, jabatan ini telah memberikan
banyak bantuan kepada golongan cacat dan kurang upaya di Malaysia supaya
kehidupan mereka lebih baik.
Kesimpulannya, Jabatan
Kebajikan Masyarakat memainkan peranan yang begitu besar dalam perbangunan
rohaniah rakyat negara ini. Jabatan ini berusaha untuk memastikan semua lapisan
rakyat Malaysia menerima perhatian dan penjagaan sosial yang sewajarnya.
Lantaran itu, kerjasama semua pihak terutama pihak swasta dalam memberikan
sumbangan kewangan amat diperlukan dalam memastikan semua program jabatan ini
berjalan lancar. Tanpa kewujudan jabatan ini kemungkinan kebaijkan rakyat kita
akan terabai.
KARANGAN 3
Tajuk:
Kewujudan pasaraya besar di negara ini sudah menjadi satu kebiasaan. Cuma
pelbagai masalah pula timbul tanpa disedari.
Huraikan masalah-masalah
yang timbul itu.
Contoh Karangan:
Salah satu bukti yang
menunjukkan bahawa masyarakat sesebuah negara itu sudah maju ialah pasaraya
besar wujud dengan begitu ketara dan Malaysia sudah memiliki pelbagai pasaraya
besar. Kewujudan pasaraya sebegini sudah menjadi satu lumrah kehidupan terutama
di kawasan bandar besar yang mempunyai populasi yang begitu tinggi. Kebanyakan
pasaraya besar ini dimiliki oleh syarikat multinasional yang berasal dari
negara asing seperti Perancis dan Britain. Sudah pasti akan wujud pelbagai
impak ekoran kemunculan pasaraya sebegini dalam budaya kita.
Impak negatif yang
pertama ialah pasaraya besar ini berupaya menjejaskan keseinambungan
peruncit-peruncit kecil-kecilan di negara ini. Kalau dahulu peruncit ini boleh
bersaing dengan pekedai lain tetapi kemunculan pasaraya besar sukar ditandingi
mereka. Biasanya pasaraya besar membeli barangan dalam bentuk pukal lalu
berupaya menjualnya dengan harga yang jauh begitu murah. Pada masa yang sama
kos operasi pasaraya ini juga begitu rendah dibandingan dengan peruncit
tempatan yang tiada pilihan selain gulung tikar. Maka, semakin banyak pasaraya
besar ini semakin tipislah peluang untuk peruncit tempatan untuk mengaut
keuntungan.
Pada masa yang sama
pasaraya besar membawa kemunculan budaya baru pula yakn budaya membeli barangan
dalam kuantiti yang banyak. Biasanya pembeli terpaksa membeli dalam jumlah yang
banyak untuk mendapatkan lebih banyak potongan harga jika membeli sesuatu
produk itu secara berasingan. Keadaan ini menyebabkan timbulnya konsep
pembaziran yang keterlaluan terutama dalam aspek penggunaan sesuatu produk dan
juga kegunaan wang pengguna. Oleh itu, pasaraya besar menyebabkan budaya
membazir muncul dalam masyarakat kita sedikit demi sedikit lalu menjadi satu
kelaziman pula suatu masa nanti.
Akibat pembinaan
pasaraya besar ini tertumpu di kawasan yang padat penduduknya masalah kesesakan
lalu lintas pula menjadi semakin kronik terutama ketika hujung minggu atau awal
bulan. Kesukaran untuk mendapatkan tempat letak kereta menyebabkan banyak
penggunan yang berkunjung ke pasaraya ini sengaja meletakkan kereta mereka di
bahu-bahu jalan lalu menghalang kelancaran lalu lintas kenderaan lain pula.
Situasi sesak ini pastinya menimbulkan masalah bukan sahaja kepada pengguna
tetapi juga kepada penduduk sekitar yang terpaksa menghadapi keadaan yang
serupa berulang kali sepanjang hidup mereka. Sesungguhnya, pasaraya besar
menyebabkan berlakunya kesesakan lalu lintas bukanlah satu isu baru lagi malah
sudah menjadi sesuatu yang biasa pula.
Natijahnya, pasaraya
besar memberikan satu impak yang besar dalam kehidupan masyarakat kita
sekarang. Kalau kita kaji secara mendalam semua aktiviti harian masyarakat
banyak tertumpu di kawasan pasaraya besar ini. Kalau dahulu berbelanja dianggap
sebagai satu kehendak kini aktiviti berbelanja sudah menjadi keperuan atau
amalan biasa dalam kehidupan masyarakat kita. Mungkin masyarakat kita tidak
akan mengena lagi jiran tetangga mereka kerana sibuk menghabiskan masa di
pasaraya sahaja. Bayangkan.
KARANGAN 4
Tajuk:
Anda telah dibawa oleh ayah dan ibu anda ke satu tempat perkelahan yang
menarik. Ceritakan pengalaman anda itu.
Contoh Karangan:
Sebenarnya saya memang
suka berkelah di tepi pantai kerana ingin mengalami perasaan ditiup angin sepo-sepoi
bahasa yang sejuk nyaman itu. Jadi, apabila ayah dan ibu memberitahu bahawa
mereka merancang untuk membawa saya ke pantai Port Dickson, saya berasa begitu
bersemangat untuk ke sana. Hati saya begitu ceria menanti saat tersebut malah
saya tidak sabar sebenarnya.
Perjalanan ke sana dari
Kuala Lumpur hanya mengambil masa sejam lebih sahaja. Entah sama ada perasaan
gembira saya atau sebab yang lain, perjalanan ke pantai begitu pantas berlalu.
Sekelip mata saya sudah berada di tepi pantai bersama-sama ayah dan ibu. Orang
ramai juga sudah berkerumun di tempat-tempat strategik untuk menikmati suasana
yang nyaman itu. Hati semua nampak girang belaka.
Ayah dan ibu menyuruh
saya membentangkan plastik besar untuk dijadikan tempat alas kami duduk
berehat. Kerja itu saya dilakukan dengan penuh kepatuhan. Tangan saya
memastikan tidak ada pasir pantai yang melekat di atas alas plastik itu.
Kemudian, ibu meletakkan beberapa bekas makanan dan minuman manakala ayah
segera membuka makanan itu. Kami segera menikmati hidangan yang sudah dimasak
oleh ibu itu.
Sambil makan, ayah dan
ibu bertanyakan saya tentang pelajaran di sekolah. Saya memberitahu bahawa
pelajaran saya tiada masalah begitu juga dengan hubungan kawan-kawan yang lain.
Ayah dan ibu mengambil kesempatan masa bersantai di pantai ini untuk
berinteraksi dengan saya. Mereka juga memberitahu bahawa mereka mahu saya
menumpukan perhatian sepenuhnya terhadap pelajaran kerana peperiksaan semakin
hampir. Saya mengangguk kepala tanda faham dan bersetuju.
Setelah selesai makan
ibu menyuruh saya berjalan di sepanjang pantai itu sementara ibu dan ayah duduk
berbual antara mereka. Saya bersetuju dan mula mengatur langkah dengan penuh
gembira. Sambil berjalan saya melihat pelbagai telatah pengunjung bersama-sama
keluarga mereka. Ada yang sedang bermain bola, ada yang mendengar radio sambil
baring dan ada yang kejar mengejar antara kawan. Pada masa yang sama saya juga
mendengar suara-suara gelak ketawa antara mereka itu. Alangkah bagusnya jika
setiap hari begini kata hati kecil saya.
Kami berada di pantai
itu hampir tiga jam sebelum menaiki kereta semula untuk menuju ke kota raya. Di
dalam kereta ayah sempat bertanya kepada saya tentang perasaan saya. Lalu, saya
memberitahu bahawa saya begitu gembira kerana muka saya dihembus oleh tiupan
angin laut yang begitu saya suka selama ini. Mak dan ayah hanya ketawa sahaja
apabila mendengar kata-kata saya itu. Saya pula tersenyum sambil mengucapkan
terima kasih kepada ayah dan ibu di dalam hati saya kerana membawa saya ke
pantai.
KARANGAN 5
Tajuk:
Makanan seimbang amat penting kepada setiap orang. Huraikan kepentingan makan
makanan seimbang.
Contoh Karangan:
Makanan seimbang ialah
pengambilan makanan yang cukup untuk keperluan tubuh badan. Manusia memerlukan
makanan dan vitamin untuk pembesaran dan menjaga kesihatan. Media massa turut
mempopularkan pemakanan seimbang menerusi pelbagai program dan penulisan
artikel mengenai pemakanan yang sihat ini. Oleh itu, wujud pelbagai kebaikan
daripada makanan seimbang ini.
Kepentingan pemakanan
seimbang yang utama ialah sikap ini menjadikan pembesaran manusia itu lebih
sempurna daripada aspek fizikal. Tubuh badan menerima semua keperluan zat yang
diperlukan untuk membina tubuh badan yang kuat daripada keperluan fizikal
manusia. Keupayaan fizikal yang ketara ini menjadikan seseorang manusia itu
boleh menjalankan tugasnya dengan begitu baik dan sempurna. Jelaslah, pemakanan
seimbang menjadikan fizikal manusia itu lebih baik berbanding manusia lain yang
kurang menjaga aspek pemakanannya.
Selain itu, pemakanan
yang seimbang menjadikan perkembangan mental seseorang itu terganggu pula.
Kekurangan zat makanan yang tertentu boleh menjadikan mental seseorang itu
tidak cukup cerdas atau mudah letih apabila cuba menyelesaikan sesuatu perkara
yang dialami dalam kehidupan seseorang itu. Keadaan ini menjadikan seseorang
itu gagal berfikir untuk menyelesaikan masalahnya dengan lebih efektif
berbanding dengan individu yang seimbang aspek pemakanannya. Jadi, pemakanan
seimbang menjadikan aspek mental manusia lebih stabil dan berdaya tahan.
Kemungkinan kepentingan
pemakanan seimbang yang mudah difahami ialah makanan yang seimbang memberikan
vitamin yang cukup kepada badan seseorang itu. Keperluan vitamin yang cukup ini
menjadikan tubuh manusia itu lebih tahan untuk menghadapi sebarang jangkitan
penyakit atau tidak mudah untuk jatuh sakit. Kesihatan manusia dikatakan
perkara yang paling penting dalam kehidupan seseorang itu. Sesungguhnya,
manusia yang mengamalkan pemakanan seimbang akan mempunyai kesihatan yang sihat
sejahtera sahaja.
Malahan, pemakanan
seimbang turut dikatakan mampu mengawal kadar obesiti masyarakat dunia. Salah
satu aspek utama dalam pemakanan seimbang ialah manusia perlulah mengambil
makanan dalam kuantiti yang kecil tetapi cukup khasiat yang diperlukan oleh badan.
Pengawalan pemakanan sebegi menjadikan tubuh seseorang itu tidak terlalu gemuk
dan memudahkan mereka untuk menjalankan pelbagai aktiviti terutama aktiviti
senaman yang mampu menyihatkan badan pula. Oleh itu, obesiti mampu diatasi jika
seseorang itu mempunyai diet pemakanan seimbang dalam hidupnya.
Kesimpulannya, kita
perlu mengambil makanan yang seimbang kerana semua kepentingannya sudah
dinyatakan tadi. Bukan sahaja individu tetapi masyarakat dan seterusnya negara
akan menerima kesan positif daripada pemakanan yang baik ini. Jika masyarakat
masih ingkar dan tidak mahu berubah sudah pasti jumlah pesakit penyakit kronik
di negara ini akan bertambah pula. Ketika itu mungkin sudah terlewat untuk kita
semua mengambil langkah pencegahannya. “Tepuk dada tanya selera”.
KARANGAN 6
Tajuk:
Kerap kali anda mendengar komen orang ramai tentang mutu sukan di Negara kita.
Nyatakan punca-punca kemerosotan mutu sukan di tanah air kita.
Contoh Karangan:
Mutu sukan negara kita
memang tidak begitu konsisten baik dalam sukan bola sepak, hoki dan badminton.
Situasi ini menyebabkan pelbagai pihak memberikan pendapat mereka tentang
kelemahan ini. Jelaslah, terdapat pelbagai punca yang menyebabkan mutu sukan
negara kita terus merosot.
Alasan utama yang
menyebabkan mutu sukan Negara kita merosot ialah para pemaian kurang memiliki
semangat cinta akan negara. Ketika bermain, ahli sukan negara tidak bermain
dengan bersungguh-sungguh kecuali mereka ditawarkan pelbagai imbuhan sebelum
ini. Maka, mutu sukan kita terus merudum kerana ketiadaan rasa patriotik dalam
jiwa pemain negara.
Tambahan pula,
kebanyakan ahli sukan Negara menganggap bidang sukan yang mereka ceburi itu
sebagai kerjaya sampingan sahaja. Persepsi sebegini menyebabkan mereka tidak
memberikan tumpuan penuh ketika menjalani latihan atau ingin meninggikan
kualiti permainan mereka itu. Sesungguhnya, konsep sukan aktiviti sampingan
menjejaskan minat seseorang untuk meninggikan mutu permainan mereka.
Bukan sahaja ketiadaan
semangat cinta akan negara dan menganggap sukan satu aktiviti sampingan sahaja
tetapi mutu sukan negara kita merosot kerana kurangnya sekolah-sekolah sukan di
negara ini. Ketiadaan sekolah-sekolah sukan menyebabkan negara ini tidak mampu
mencungkil bakat-bakat baru atau mencari pelapis untuk ahli sukan veteran
negara lalu menjejaskan kualiti mutu sukan pada jangka masa panjang pula.
Justeru, mutu sukan kita merosot kerana negara ini tidak memiliki
sekolah-sekolah sukan yang baik.
Malah, negara ini juga
kekurangan kemudahan sukan berbanding dengan negara-negara yang maju industri
sukannya. Kita tidak membina banyak kawasan sukan seperti gelanggan tenis,
badminton, bola keranjang, dan stadium bola sepak yang boleh digunakan untuk
menganjurkan kejohanan bertaraf dunia juga. Sesungguhnya, kekurangan kemudahan
sukan menyebabkan rakyat negara ini tidak berpeluang untuk bermain permainan
tertentu pula.
Konklusinya, semua
factor yang dinyatakan tadi telah menyebabkan kualiti sukan negara ini terus
tidak konsisten. Semua pihak terutama kerajaan perlulah memberikan kerjasama
yang jitu untuk mengatasi kelemahan dalam program sukan negara itu. Slogan
“majulah sukan untuk Negara” perlu diteliti untuk memastikan sukan di negara
ini terus berkembang dengan baik.
KARANGAN 7
Tajuk:
Internet lebih banyak mendatangkan kebaikan daripada keburukan. Bersetujukah
anda dengan pernyataan di atas dan berikan alasan-alasan yang munasabah bagi
menyokong hujah anda.
Contoh Karangan:
Kita harus mengikut arus
semasa yakni internet merupakan satu budaya baharu dalam masyarakat kini.
Lantaran itu, internet tidak boleh dipandang sebagai sesuatu yang berunsur
negatif tetapi sebaliknya untuk memastikan rakyat dan negara ini standing
dengan negara yang lain dalam mengejar arus pembangunan semasa. Maka, ada
pelbagai impak positif yang dibawa oleh internet.
Internet merupakan satu
budaya baharu yang memudahkan kehidupan manusia terutama dalam aspek komunikasi
atau berhubung secara langsung dengan orang lain. Hubungan antara saudara mara
yang tinggal jauh daripada kita termasuklah di luar negara maka internet boleh
digunakan. Internet menjadikan komunikasi lebih cepat dan berkesan lalu
mengeratkan hubungan antara manusia pula.
Manakala buat pelajar
pula, internet pula boleh menjadi satu perpustakaan besar atau maya yang
memberikan manfaat kepada pelajar. Semua maklumat atau informasi ini
seolah-olah berada dihujung jari pelajar sahaja untuk memperolehnya. Maklumat
yang diperoleh ini menjadikan minda pelajar lebih terbuka dan kreatif dalam
menghadapi cabaran kehidupan zaman moden ini.
Pada masa yang sama kemudahan
internet kini menjadikan banyak urusan harian dilaksanakan terutama aspek
pembayaran bil-bil semasa. Kita sudah boleh membayar bil-bil elektrik, air dan
telefon serta membuat pindahan kewangan lalu menjimatkan masa dan tenaga
manusia. Kemudahan sebeginilah yang mampu menjadikan kehidupan manusia lebih
bermakna akibat penggunaan teknologi moden ini.
Selain itu, internet
juga membolehkan pelajar membuat permohonan secara terus atau “on-line” untuk
memohon kerja, biasiswa atau memasuki universiti. Semua kemudahan ini mampu
untuk diperluaskan dalam aspek lain pula seperti urusan dengan pihak kerajaan
dan mungkin juga bidang lain. Kehidupan manusia sudah pasti akan berubah dengan
adanya kemudahan internet yang sebegini.
Kesimpulannya, kita
sebagai ahli masyarakat tidak boleh berfikiran sempit dan beranggapan bahawa
sesuatu yang baharu itu membawa kesan negatif sahaja. Sebenarnya kesan baik
atau buruk sesuatu perkara itu banyak ditentukan oleh manusia yang
menggunakannya. Namun, dalam aspek internet lebih banyak impak positif yang
dibawanya daripada negative kepada kehidupan manusia.
KARANGAN 8
Tajuk:
Industri kraf tangan mempunyai potensi yang besar di negara kita meskipun
menghadapi pelbagai masalah. Apakah langkah-langkah yang dapat diambil untuk
memajukan industri ini? Jelaskan.
Contoh Karangan:
Industri kraf tangan
ialah kerja-kerja penghasilan barangan kraf tradisional. Industri ini merupakan
satu industri yang berpetensi besar untuk membantu meningkatkan tahap kehidupan
masyarakat terutama masyarakat desa. Oleh itu, wujud pelbagai tindakan yang
boleh dilakukan untuk memajukan industri ini ke tahap yang lebih baik lagi.
Tindakan yang paling
logik untuk memajukan industri ini adalah dengan membina lebih banyak pusat
kraf tangan di negara. Penubuhan lebih banyak pusat kraf sebegini sudah pasti
menjadikan lebih banyak produk yang boleh dipamerkan dan mudah untuk diperoleh
oleh pelancong terutama dari luar. Dalam masa yang sama pusat ini juga boleh
dijadikan sebagai tempat melatih lebih banyak penggiat industri ini pula.
Kerajaan juga harus
menjalankan usaha untuk meningkatkan produktiviti industri ini. Pengenalan
teknologi dan reka bentuk yang unik sudah pasti mampu meninggikan lagi keluaran
industri ini supaya kos menjadi lebih murah dan harga yang dikenakan kepada
pembeli boleh dikurangkan sehingga ke tahap minima. Produktiviti yang tinggi
juga menjadikan industri ini lebih berdaya saing dan kreatif untuk memastikan
produk mereka terus mendapat tempat dalam hati pelancong.
Kempen kesedaran yang
meluas harus dilaksanakan terutama dalam kalangan generasi muda. Sudah ada
remaja yang tidak lagi mengenali hasil kraf tangan negara kerana mereka tidak
menggunakan produk itu sebaliknya lebih suka menggunakan sesuatu yang bercorak
moden atau berteknologi tinggi. Kempen yang meluas juga mampu mengiklan dan
meninggikan imej hasil kraf tangan pada masa yang sama.
Produk kraf tangan ini
juga perlulah menggunakan hasil semula jadi yang wujud di Malaysia. Usaha
mengeksploitasikan sumber semula jadi negara untuk dijadikan kraf tangan mampu
memberikan sentuhan unik terhadap produk tersebut lalu meninggikan
permintaannya pada masyarakat luar. Bukankah kraf tangan harus menggunakan
sumber semula jadi tempatan?
Konklusinya, industri
ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang remeh. Semua negara menghargai hasil
kraf tangan mereka dan menjadi tugas kita untuk memastikan hasil ini terus
hidup subur dalam negara ini. Kegagalan kita mengekalkan kraf tangan
seolah-olah menjadi buktik betapa teruknya pandangan masyarakat terhadap
industri kraf tangan sendiri.
KARANGAN 9
Tajuk:
Kadar kemalangan jalan raya begitu meningkat setiap tahun. Huraikan
punca-puncanya.
Contoh Karangan:
Kemalangan jalan raya
ialah peristiwa ngeri yang biasanya melibatkan perlanggaran dua kenderaan atau
lebih di jalan raya atau pun lebuh raya. Kemalangan sebegini biasanya boleh
membawa kecederaan dan juga kematian. Negara kita merupakan antara negara yang
mempunyai angka kematian akibat kemalangan yang tinggi. Oleh itu ada banyak
punca yang harus kita kaji untuk memahami masalah ini.
Punca pertama ialah
kemalangan disebabkan oleh kecuaian pemandu itu sendiri ketika menggunakan
jalan raya. Ramai pemandu yang memandu dalam keadaan mabuk dan mengantuk atau
tidak sedarkan diri. Ada juga yang tidak suka menjaga kenderaan mereka lalu
kemalangan boleh berlaku kerana masalah brek, tayar dan sebagainya. Mereka
tidak menghiraukan keselamatan orang lain ketika memandu kerana menganggap
mereka cekap mengawal stering kenderaan. Jadi, kemalangan mudah berlaku akibat
kecuaian mereka ini.
Selain itu kemalangan
juga disebabkan oleh keadaan jalan raya yang tidak baik. Biasanya jalan raya
menjadi lebih bahaya ketika waktu hujan turun kerana air hujan menyebabkan
jalanraya menjadi lebih licin lalu sukar untuk dikawal jika pemandunya tidak berhati-hati.
Begitu juga dengan keadaan jalan raya yang tidak lurus dan turun naik yang
menyukarkan pemandu untuk memberi tumpuan lalu mudah berlakunya peristiwa ngeri
ini. Maka, keadaan jalan raya harus diubah supaya menjadi lebih selamat buat
pengguna jalan raya.
Malah, ada pihak yang
menyalahkan pemandu baru yang menyebabkan kemalangan terus menerus berlaku di
negara ini. Mereka dikatakan tidak mahir untuk mengawal kenderaan terutama
ketika dalam keadaan kecemasan yang menyebabkan banyak yang panik. Golongan
muda juga diselar kerana mereka biasanya suka memandu dengan bahaya dan laju.
Sesungguhnya, satu alat mekanisme baru harus dicari untuk memastikan tahap
pemanduan pemandu baru mencapai piawaian yang baik.
Jumlah kemalangan
bertambah juga berkaitan dengan jumlah kenderaan yang bertambah setiap tahun.
Pertambahan bilangan kenderaan menjadikan lalu lintas begitu sibuk dan penuh
dengan kenderaan. Sudah pasti keadaan ini meningkatkan peratusan untuk sesuatu
kemalangan itu berlaku di jalan raya. Jelaslah, semakin banyak kenderaan di
jalan raya risiko untuk kemalangan berlaku amat tinggi.
Kesimpulannya, kadar
kemalangan jalan raya di negara ini begitu menakutkan kita semua. Satu usaha
yang berani harus dilaksanakan oleh pihak berkuasa untuk menghalang masalah ini
menular lagi. Kita harus sedar bahawa nilai nyawa manusia begitu berharga.
Pandu cermat jika selamat.
KARANGAN 10
Tajuk:
Kenaikan harga minyak mula dirasai di negara ini. Huraikan impak negatif yang
timbul daripada keadaan ini.
Contoh Karangan:
Kenaikan harga minyak
dikaitkan dengan peningkatan secara mendadak harga petroleum di pasaran dunia.
Antara sebab yang membawa peningkatan ini ialah pertumbuhan ekonomi global,
peperangan di negara pengeluar minyak dan juga kejadian bencana alam yang
melanda sesebuah negara itu. Jadi, kenaikan harga minyak ini memang membawa
banyak impaknya.
Impak yang ketara ialah
kos kehidupan masyarakat akan meningkat juga. Kebanyakan harga komoditi
terutama makanan dan produk kilang akan meningkat selari dengan pertambahan
harga barang lalu bajet bulanan masyarakat turut terjejas. Jelaslah, kos
kehidupan akan menjadi bertambah tinggi sebaik sahaja harga minyak melambung.
Selain itu, harga barang
akan turut menjadi mahal ekoran peningkatan harga minyak ini. Pengguna terpaksa
membeli barang keperluan seperti makanan, pakaian dan rumah dengan kadar harga
yang jauh lebih tinggi kerana kos hidup bertambah pula. Sesungguhnya, harga
barang yang tinggi menyebabkan ada pengguna yang tidak mampu untuk membelinya
pula.
Malah, tambang pengangkutan
terutama pengangkutan awam akan berlipat kali gander pula. Syarikat
pengangkutan terutama bas terpaksa meninggikan tambang kerana mereka
menggunakan minyak dengan banyak untuk menjalankan operasi perniagaan mereka
itu. Maka, kos pengangkutan yang tinggi ini menyebabkan ada ahli masyarakat
yang tidak mampu untuk menggunakannya.
Tambahan pula, kenaikan
harga minyak boleh menjadikan keadaan politik negara tidak stabil. Banyak pihak
akan melakukan tunjuk perasaan sebagai satu cara untuk menunjukkan rasa tidak
puas hati mereka terhadap kenailkan ini. Jadi, tunjuk perasaan yang kerap itu
boleh mencetuskan pelbagai keadaan yang tidak aman pula di dalam negara kita.
Kesimpulannya, semua
kesan negatif ini memang wujud apabila harga minyak melambung. Kerjasama semua
pihak amat diperlukan terutama kerajaan untuk melaksanakan dasar-dasar yang
boleh mengurangkan impak kenaikan ini. Bak kata pepatah, 'sediakan payung
sebelum hujan' amat penting direnungi oleh kita semua sebelum terlewat.
No comments:
Post a Comment